Tuesday 25 July 2017

Permainan atau Game Memuja Hantu

game_hantu
Permainan atau game hantu... aneh kenapa ia masih dianggap 'permainan' oleh sesetengah masyarakat Sedangkan permainan pelik seperti ini melibatkan entiti atau energi dari alam ghaib. Mungkin sepatutnya, perkataan yang lebih sesuai untuk perkara-perkara seperti ini adalah 'ritual'.

Sama ada game atau ritual, kita teruskan sahaja. Namun penulis ingin ingatkan kepada kalian, ini hanyalah perkongsian maklumat daripada penulis. Penulis enggan bertanggungjawab sekiranya ada diantara kalian yang mencuba dan mendapat masalah.

1. Spirit of The Coin.

Spirit of The Coin tampaknya lebih popular di negara kita. Game ini biasanya melibatkan syiling dan kertas. Pemain-pemain akan menulis beberapa perkataan dan huruf. Biasanya "ya" dan "tidak". Kemudian, pemain-pemain akan meletakkan tangan atau jari di syiling yang digunakan dan bertanya beberapa soalan kepada roh atau entiti yang berhampiran. Jika ada respon, syiling tersebut akan bergerak ke mana-mana perkataan atau huruf untuk memberi mesej sebagai jawapan.

Nota penulis: Kes kerasukan pernah terjadi beberapa kali daripada 'game' ini. Pernah sekali sampai pelajar dirasuk beramai-ramai kerana mencubanya.

2. Papan Ouija.

Secara teknikalnya, papan Ouija adalah sebahagian daripada Spirit of The Coin cuma ia menggunakan papan yang dinamakan "Ouija". Anehnya, papan Ouija adalah alat permainan untuk kanak-kanak pada zaman dahulu. Namun, papan Ouija lebih banyak digunakan oleh orang dewasa sebagai alat komunikasi kepada roh yang berhampiran.

3. Bloody Mary.

Permainan ini melibatkan cermin. Menurut peraturan, anda mesti bermain permainan ini seorang diri. Kononnya, jika anda bersama orang lain, ia tidak akan menjadi atau batal. Lebih sukar lagi, anda mesti berada di dalam bilik yang kosong dalam keadaan gelap-gelita dengan hanya sebatang lilin sebagai sumber cahaya. Kemudian, anda boleh menyeru roh atau hantu Bloody Mary dan jika bernasib baik, dia akan datang. Anda boleh tanya apa sahaja soalan kepadanya. Kemudian, halau Bloody Mary dengan memasang lampu.

Ramai yang mendakwa Bloody Mary hanya akan menyerang pemain. Jadi tiada guna mencubanya. Penulis tidak galakkan anda mencuba tetapi jika anda berkeras, pastikan ada kawan yang menunggu anda di luar dan jangan terlalu dekat dengan cermin. Jika berhasil, buang cermin itu jika sudah selesai.

4. The Three Kings.

Sebuah permainan daripada Reddit yang mana anda akan menjadi 'Raja' dan duduk di sebuah kerusi sebagai singgahsana. Dua kerusi lagi adalah untuk Ratu dan si Bodoh walaupun anda tidak akan tahu yang mana satu untuk Ratu dan sebaliknya. Kononnya melalui permainan ini, kesedaran anda akan pergi ke dimensi lain. Anda akan mengetahui rahsia sama ada baik atau buruk. Ada juga yang mengatakan permainan ini akan menyebabkan anda mimpi sedar atau 'lucid dream'.

5. Elevator Game.

Kononnya, pemain akan dapat pergi ke dimensi lain melalui lif. Game ini melibatkan pemain menggunakan lif di bangunan yang ada 10 tingkat atau lebih. Pemain kemudian hendaklah memasuki lif dan menekan butang ke tingkat 1, 4, 2, 6, 2, 10, 5 mengikut urutan. Apabila sudah sampai ke tingkat 5, seorang wanita yang dipercayai hantu atau makhluk lain selain manusia akan masuk ke dalam lif bersama pemain. Pemain dilarang untuk bercakap dengan wanita tersebut dan hendaklah untuk tidak melihat wajahnya. Seterusnya, pemain hendaklah menekan butang ke tingkat 1 yang mana sebaliknya akan membawa pemain ke tingkat 10 lalu keluar dari lif. Jika ditanya oleh wanita itu, hendaklah TIDAK menjawabnya. Gunakan kombinasi sama dan lif yang sama jika ingin pulang.

6. The Hooded Man.

Permainan berhantu yang memerlukan telefon lama yang berputar dan dua wayar hitam. Jika berjaya, sebuah teksi berwarna hitam akan sampai berhampiran rumah pemain yang mana pemain dikehendaki masuk ke dalam dan tidur. Apabila terjaga, pemain hendaklah memastikan waktu sudah 3:30 a.m dan tidur semula. Tetapi jika sebaliknya, keluar dari teksi dan batalkan.

Kononnya melalui permainan ini, pemain akan dibawa oleh seorang pemandu teksi berpakaian hud. Melalui cerita daripada pemain-pemain yang berjaya, seorang lelaki yang kelihatan seperti seorang raja akan memasuki kereta. Jika itu terjadi, jangan sesekali bercakap dengannya. Kononnya lelaki itu mengaku seorang Tuhan dan Malaikat dan mahu disembah. Dia juga mendakwa akan membantu. Jangan sesekali terpedaya atau lebih baik, jangan cuba permainan ini.

7. Kokkuri San.

Lebih kurang seperti Spirit of The Coin dengan menggunakan syiling, kertas dan tulisan Jepun. Pemain akan memanggil hantu Kokkuri San dan bertanyakan soalan. Permainan ini cukup popular di Jepun sehinggakan banyak sekolah di sana melarang pelajar melakukan permainan ini.

8. The Dark Reflection.

Rasanya ini lebih kepada ritual berbanding game. Ritual ini akan membuatkan pemain mendapat nasib baik tetapi sebelum mendapat nasib baik, pemain akan mendapat nasib buruk dahulu. Ia mesti dilakukan selepas matahari terbenam atau 6 jam sebelum subuh. Kemudian, pemain mesti menghembuskan nafasnya ke sebuah cermin sehingga berwap untuk membebaskan energi negatif ke cermin tersebut. Dengan menggunakan sebatang lilin yang dinyalakan, pemain hendaklah menghitamkan cermin tadi sehingga betul-betul hitam kemudian, padam lilin dan pecahkan cermin itu.

Malam itu juga, pemain akan mendapat nasib yang buruk. Pemain mestilah bertahan dan dilarang untuk tidur demi keselamatan. Jika selamat, sebaik sahaja matahari mula terbit, pemain akan mendapat nasib baik. Semakin lama usia cermin yang digunakan, maka semakin besar lah nasib malang yang akan dihadapi pemain dan semakin besar juga nasib baik yang pemain akan dapat.

Pemain dilarang melakukan ini di rumah. Boleh dilakukan secara berkumpulan tetapi semua pemain mesti sudah wapkan cermin dengan nafas sebelum dihitamkan dan dipecahkan.

Penulis tidak galakkan cara ini untuk mendapat tuah kerana pemain belum tentu akan selamat.

9. Charlie Charlie Challenge.

Boleh dilakukan menggunakan 2 atau 4 batang pensil dan memerlukan 2 orang pemain. Kaedah hampir sama seperti Spirit of The Coin cuma menggunakan kertas dan pensil. Pemain akan menekan pensil tadi dan jika ada respon, pensel akan bergerak.

Kononnya hantu atau syaitan yang dipuja dalam game ini adalah syaitan Mexico bernama Charlie.

Nota penulis: Jarang orang Mexico pakai nama 'Charlie'. Hmm...

10. Hitori Kakurenbo.

Berasal daripada Jepun di mana pemain bermain sorok-sorok dengan patung. Permainan ini memerlukan patung yang mana isinya diganti dengan beras dan sedikit kuku jari tangan pemain dan dijahit semula dengan benang merah. Patung tersebut juga mesti dililit dengan lebihan benang tadi dan diletakkan ke dalam tab mandi berisi air. Tutup semua lampu dan kembali ke tempat di mana patung itu diletakkan. Jika ia sudah tiada, giliran pemain untuk mencarinya.

Pastikan mulut berisi air garam setelah menutup lampu tetapi jangan telan. Untuk menghentikannya, patung itu mesti dijumpai. Jika jumpa, semburkan air garam dari mulut ke patung itu. Tunggu sehingga patung itu kering dan bakar sehingga habis dan buang abunya.

11. The Midnight Game.


Dipercayai daripada ritual pagan purba yang digunakan sebagai hukuman kepada mereka yang tidak akur kepada dewa-dewi. Dalam permainan ini, hantu atau entiti yang dipanggil Midnight Man akan diseru dan pemain mestilah mengelaknya sehingga 3:33 a.m. Disarankan pemain untuk menentangnya.

Tanda-tanda Midnight Man sedang berhampiran adalah bunyi orang berbisik, suhu menurun, atau lilin terganggu atau terpadam. Dikatakan jika lilin terpadam, ia mesti dinyalakan semula dalam 10 saat dan masuk ke dalam bulatan garam sampai pukul 3:33 a.m.

Nota penulis: Sengaja penulis tidak kongsikan cara-cara bermain ritual ini kerana dikatakan jika tertangkap oleh'nya', sama ada anda akan berhalusinasi perkara yang menakutkan atau organ dalaman akan dikeluarkan satu persatu. Jangan pernah main game ini. Terutama kepada mereka yang mempunyai agama.

12. The Closet Game.

Permainan yang melibatkan penyeruan syaitan dan membenarkannya masuk ke dalam almari. Jika sudah berjaya menyeru syaitan, hendaklah menyalakan mancis kayu sepantas yang boleh atau akan ditarik oleh syaitan ke dalam kegelapan. Jika berjaya nyalakannya, buka pintu almari dan perlahan-lahan keluar daripada bilik.

Jika sudah melakukan itu, pemain dilarang membuka almari tersebut tanpa cahaya kerana kononnya almari itu sudah berhantu. Dikatakan jika almari tersebut dibiarkan terbuka pada waktu malam, pemain boleh melihat entiti di dalamnya.

Nota penulis: Kemungkinan permainan ini mendapat inspirasi daripada phobia atau rasa takut orang barat kepada almari. Di barat seperti Amerika Syarikat, ramai kanak-kanak takut dengan almari dan bawah katil kerana mereka biasa ada imaginasi makhluk seperti hantu atau raksasa keluar dari almari. Mungkin sebab itulah filem Pixar iaitu Monsters, Inc. dicipta untuk brainwash kanak-kanak agar tidak takut terhadap almari.

13. Dry Bones.

Sama seperti nombor 10, cuma game hantu ini menggunakan entiti sebenar. Pemain mesti menyediakan lilin dan mancis kayu. Pada 12:01 a.m, pemain akan ke bilik air dan pandang ke cermin sambil nyalakan lilin tadi dengan mancis kayu. Lilin akan dibiarkan terpadam dengan sendiri. Kemudian, pemain akan mengatakan, "saya sedar akan kewujudan kamu dan mengalu-alukan kamu ke rumah saya. Datanglah sekarang". Setelah itu, pemain haruslah lari sepantas yang boleh dan bersembunyi.

Untuk menghentikan game hantu ini, pemain kena tunggu sehingga 3 a.m lalu pergi ke bilik yang paling luas di rumah dan katakan, "Terima kasih kerana bermain, tapi kamu mesti pergi sekarang juga". Ketika ini, pemain akan mendengar bunyi entiti itu merintih tanda setuju. Pastikan anda kekal bersembunyi kerana jika tertangkap, entahlah....

Cukup 13 senarai. Ini hanyalah sebagai perkongsian sahaja. Jangan cuba mana-mana game dalam blog ini. Lagi pun, belum tentu semuanya betul. Tetapi sebagai langkah berjaga-jaga, jangan cuba, terutama sekali kepada mereka yang mempunyai agama.

KONGSI